BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, August 16, 2009

Personaliti berasal dari perkataan Latin ''pesona'', yang membawa maksud topeng, pelindung muka atau juga mengeluarkan suara (personare). Maksud-maksud ini merujuk kepada penampilan luaran seseorang individu. Menurut ahli psikologi, personaliti merangkumi pemikiran, persepsi, nilai, sikap, watak, keupayaan, kepercayaan, kecerdasan, motivasi, kebiasaan dan sebagainya. Mischel (1999) menyatakan konsep personaliti sebagai organisasi dinamik sistem psikofizikal setiap individu yang menentukan tingkah laku dan pemikiran.

Kajian terhadap personaliti adalah penting kerana ramai dalam kalangan masyarakat kita yang beranggapan bahawa pelajar yang pintar adalah lebih baik kelakuannya daripada pelajar normal yang lain. Realiti sebenarnya tidaklah seperti yang dianggapkan itu. Hal ini kerana semua pelajar di dalam sesuatu bilik darjah mempunyai nilai baik yang sama. Kepercayaan bahawa pelajar pintar adalah lebih baik daripada pelajar yang lain boleh mendorong pelaksanaan amalan yang tidak adil atau amalan negatif bagi pelajar lain di dalam sesebuah bilik darjah. Kita biasa mendengar pelajar dikelaskan sebagai "baik" atau "tidak baik" berdasarkan kebolehan kognitif atau kebolehan akademik mereka. Sebenarnya kebolehan kognitif yang dipunyai oleh seseorang pelajar tidak semestinya membuat pelajar tersebut menjadi individu yang baik atau tidak baik.

Banyak pendapat menyatakan bahawa pencapaian akademik seorang pelajar berkait dengan faktor kecerdasan mental pelajar, namun peranan faktor lain seperti faktor personaliti, faktor persekitaran, faktor psikologi dan sosiologi tidak boleh diketepikan. Beberapa kajian yang dilakukan oleh ahli-ahli psikologi menunjukkan bahawa faktor personaliti memainkan peranan dalam mempengaruhi pencapaian akademik seseorang pelajar (Orpen, 1976; Kay-Sandra 2001). Terman (1930), telah mengkaji perkembangan kanak-kanak pintar dan cerdas dengan menggunakan Ujian Kecerdasan Stanford-Binet (Stanford-Binet Tests) yang telah diubah suai. Kajian awal oleh Terman ini mendapati bahawa pelajar pintar dan cerdas lebih mudah mesra, lebih popular dan gemar bergaul dengan rakan sebaya. Sifat ini boleh mempengaruhi pencapaian akademik mereka (Fatanah, 1997). Kebolehan dan kecerdasan kognitif dalam kalangan pelajar pintar cerdas sering dikaitkan dengan personaliti ekstrovert iaitu suka bergaul, cepat mengeluarkan pendapat, mudah mesra, kreatif dan lebih bersikap terbuka (Che Mah & Mariani, 2001). Apa yang menjadi persoalan di sini ialah, adakah pelajar yang dikategorikan sebagai pelajar pintar ini benar-benar mempunyai personaliti seperti yang dinyatakan itu? Menurut Nik Azis (1999), beliau mengatakan bahawa pada asasnya pelajar pintar cerdas juga adalah merupakan pelajar yang sama dengan pelajar-pelajar lain namun apa yang membezakan antara pelajar pintar cerdas dengan pelajar-pelajar normal yang lain adalah daya pemikiran mereka yang boleh membentuk helah bela diri dalam melindungi sifat negatif atau personaliti negatif yang ada dalam diri mereka.

Eysenck dan Cookson (1961) telah membuat kajian dalam kalangan pelajar sekolah rendah di Staffordshire, dan mereka mendapati pelajar yang mempunyai kecerdasan yang tinggi adalah berpersonaliti ekstrovert. Pelajar sekolah rendah didapati lebih ekstrovert serta mampu memperolehi pencapaian akademik yang cemerlang (Elliot, 1972; Anthony, 1977; dan Riding, 1979). Dalam kajian lain, Johnson (1997) juga mendapati bahawa terdapat korelasi yang signifikan antara faktor personaliti dengan pencapaian akademik. Walau bagaimanapun, pendapat pengkaji-pengkaji ini telah disangkal oleh Dunn et al. (1989) dan Williams (1992), yang telah menunjukkan bahawa pelajar pintar cerdas terdiri daripada pelajar yang introvert, di mana mereka lebih cenderung belajar bersendirian daripada belajar berkumpulan. Cara dan gaya pembelajaran sebegini mempengaruhi pencapaian akademik.

Terdapat juga beberapa kajian lain yang mengaitkan aspek personaliti ekstrovert-introvert dengan jantina. Pelajar lelaki secara umumnya dilihat lebih agresif berbanding dengan pelajar perempuan. Kajian awal Eysenck (1965) ke atas kanak-kanak berumur 7–16 tahun menunjukkan bahawa kanak-kanak lelaki lebih ekstrovert daripada pelajar perempuan. Mehryer dan Hosseini (1973) telah membuat kajian terhadap 707 pelajar lelaki dan 171 pelajar perempuan di Iran dan mendapati bahawa pelajar ekstrovert yang memperoleh pencapaian cemerlang terdiri daripada pelajar lelaki. Meskipun
begitu, terdapat kajian yang menunjukkan dapatan yang berbeza. Sebagai contoh, kajian oleh Noran Fauziah (1988) menunjukkan perbezaan yang jelas di mana guru pelatih perempuan lebih ekstrovert berbanding dengan guru pelatih lelaki. Manakala hasil kajian Abdul Rahim (1991) terhadap murid-murid di sekolah rendah mendapati tiada perbezaan yang signifikan antara pelajar lelaki dan perempuan dari aspek personaliti ekstrovert-introvert.

Kesimpulannya, sukar untuk mengklasifikasikan PCA merupakan pelajar yang berpersonaliti ekstrovert atau sebaliknya. Hal ini berlaku kerana setiap pelajar adalah unik. Terdapat pelajar PCA yang perlu belajar dalam bentuk berkumpulan dan sering mengadakan perbincangan dengan guru dan rakan sebaya. Namun dalam masa yang sama terdapat pelajar yang lebih gemar belajar bersendirian dan memerlukan guru tuisyen persendirian untuk memperoleh keputusan yang cemerlang. Justeru terdapat pelbagai faktor yang mendorong kepada pencapaian yang cemerlang.

0 comments: